Pages

Thursday, January 13, 2011

Kisah Musang GT

Alkisah sepasang suami isteri yang mempunyai seorang anak yang dijaga bagai menatang minyak yang penuh dari kecil sehinggalah mencapai akil baligh. Sampainya usia matang anak itu, si ayah merasakan yang telah tiba masanya untuk anaknya itu merantau mencari pengalaman dan satu prinsip untuk dijadikan pegangan hidup. Maka disuruhlah si ayah akan anaknya supaya pergi merantau ke bandar untuk mencari pengalaman dan prinsip hidupnya untuk dijadikan bekalan kehidupan kelak.

Maka berangkatlah si anak dengan membawa sebungkus kain berisi keperluan harian dan berjalanlah si anak itu menuju ke bandar. Sebelum tiba di bandar terlebih dahulu si anak ini terpaksa meredah kawasan hutan maka diredahlah hutan itu. Tiba-tiba si anak terjumpa seekor MUSANG GT (Gemuk dan Tua) sedang tidur di bawah sepohon pokok.

Si anak tadi merasa pelik, bagaimana si musang tua dan lemah ini mampu mencari makanan sehingga dia menjadi gemuk. Kalau nak diikutkan logik memang mustahil untuk si musang yang tua ini untuk bergerak dan mencari makanan apatah lagi nak jadi gemuk macam tu. Maka disebabkan rasa ingin tahu yang membara di dalam hati si anak itu pun memanjat sebatang pokok untuk men'spy' cara musang itu mendapatkan makanan.

Selepas beberapa ketika dengan tidak semena-mena jatuh seketul daging di hadapan musang tadi. Musang tadi pun dengan badan yang lemah longlai bangun dan makan daging itu sehingga habis licin semuanya. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya si anak pun tunggu untuk hari kedua, ketiga, dan keempat. Setiap hari perkara yang serupa akan berlaku.

Si anak tadi bertambah pelik, dari mana pula daging tuh datang, patutlah musang tuh gemuk, daging jatuh dari langit ke? Pelbagai persoalan tidak masuk akal mengisi benak fikiran si anak tadi. Maka disebabkan rasa tidak puas hati, si anak tadi membuat keputusan untuk menyiasat dari mana sebenarnya daging tu datang.

Setelah disiasat maka tahulah si anak tadi bahawa ada seekor harimau yang selalu makan hasil buruannya berdekatan dengan pohon musang tadi. Disebabkan si harimau terlalu lahap dan rakus memakan makanannya, maka akan adalah beberapa ketulan daging yang berterbangan dan sampai kepada musang tadi. Maka terjawablah persoalan si anak tadi tentang misteri daging terbang itu. Selain itu si anak juga berjaya mendapat satu prinsip hidup berdasarkan apa yang dilihatnya tentang musang itu.

Setelah mendapat satu prinsip hidup yang akan dijadikan pegangan hidupnya itu maka pulanglah si anak ke rumah tanpa meneruskan perjalanan ke bandar. Si anak merasakan dia dah dapat apa yang ayahnya suruh cari.

Sampai di rumah, dia bergegas berjumpa dengan ayahnya untuk memberitahu tentang prinsip hidupnya yang baru dijumpai itu. Dia pun bercerita tentang pertemuannya dengan si musang gemuk dan tua itu dan menyatakan bahawa prinsip hidupnya ialah sentiasa bertawakal kepada Allah seperti yang dilakukan oleh musang tadi yang hanya bertawakal dan berserah kepada takdir untuk mendapatkan makanan.

Si anak merasakan dia telah memuaskan hati ayahnya tetapi ayahnya berkata,"ayah tak nak kamu menjadi seperti musang itu tetapi sebaliknya jadilah seperti si harimau kerana sesungguhnya si harimau itu telah memberi manfaat kepada si musang. Sesungguhnya sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain. " Maka terdiamlah si anak menyetujui apa yang diutarakan oleh ayahnya.

0 comments:

Post a Comment