Pages

Thursday, March 10, 2011

Pengasingan Sampah di Malaysia

Baru-baru ini muncul cadangan daripada kerajaan Malaysia yang aku 'kasihi' untuk melaksanakan atau mewajibkan pengasingan sampah menjelang 2013 iaitu 2 tahun dari sekarang.

Melalui rancangan terbaru kerajaan Malaysia yang 'dikasihi', rakyat Malaysia bakal berdepan dengan arahan untuk mengasingkan sampah kepada sampah organik, sampah boleh dikitar semula contohnya botol, tin, kaca, dan surat khabar, dan akhir sekali sampah yang tidak boleh dikitar semula.


Susahnya...

Kebetulan situasi seperti ini pernah aku tempuhi dan lalui sepanjang aku berada di United Kingdom tidak lama dahulu. Semasa aku di sana lebih kurang 5 tahun yang lalu, program pengasingan sampah baru dilaksanakan. Notis-notis pemberitahuan dan 'flyers-flyers' mengenainya sibuk disebarluaskan kepada umum.

Tapi aku tak hairan. UK sebuah negara yang maju dan memiliki rakyat yang berfikiran matang dan ke hadapan. Maka program ini walaupun baru setahun jagung, dapat dilaksanakan dengan efektif tanpa masalah.

Macam mana kaedahnya pengasingan sampah di UK??

Sistem pengasingan sampah selain di UK, turut dilaksanakan di beberapa negara lain contohnya Jepun. Di Jepun daripada yang aku baca, mereka ada sistem GOMI di mana sampah diasingkan kepada sampah boleh dibakar dan tidak boleh dibakar.

Maklumat lanjut sistem di Jepun:


Berbalik kepada pengasingan sampah di UK.

Nama programnya aku lupa tapi pelaksanaannya masih segar dalam ingatan aku. Setiap rumah di UK dilengkapi dengan EMPAT bekas membuang sampah. DUA tong besar bersama penutup dan DUA bekas kotak plastik bersaiz sederhana.

Tong pertama, tong berwarna hijau dikhususkan untuk sampah organik. Sampah organik meliputi sisa-sisa makanan, tumbuh-tumbuhan, surat khabar, dan kadbod. Plastik diharamkan sama sekali untuk diletakkan di dalam tong ini.


Sampah-sampah ini akhirnya akan dikitar semula untuk dijadikan baja organik.

Tong yang kedua, berwarna hitam dikhususkan pula untuk sampah-sampah yang tidak boleh dikitar semula. Contohnya, beg plastik, dan pampers budak serta yang sewaktu dengannya..

Kemudian ada pula 2 bekas kotak. Satu berwarna biru yang digunakan untuk meletakkan botol-botol plastik dan satu lagi berwarna hitam untuk letak botol-botol kaca.


Jadi, sampah-sampah yang biasanya kalau di Malaysia dibuang sekali ini, di UK terpaksalah diasingkan. Mula-mula memang payah sebab biasalah, nama pun orang Malaysia tapi lama-kelamaan dah semakin biasa dengan amalan murni lagi suci itu.

Satu lagi yang aku nak kongsi ialah jadual pengambilan sampah. Di sana pengambilan sampah digilir-gilirkan antara tong hijau serta kotak biru dan hitam dengan tong hitam. Minggu pertama mereka ambil tong hijau dan kotak biru dan hitam, seterusnya minggu kedua mereka ambil tong hitam.

Walaupun tempoh 2 minggu diperuntukkan untuk kita simpan sampah itu tapi tak jadi masalah sebab tongnya besar. Bukan macam tong hitam yang ada kat Malaysia yang bersaiz setengah badan manusia normal tu.


Satu lagi perbezaan ketara pengurusan sampah di sana dengan di Malaysia ialah tahap kebersihan diri atau 'personal hygiene' tukang kutip sampah.

Di UK, si pengutip sampah mana pegang sampah-sampah yang dibuang tu. Mereka cuma pegang tong sahaja. Tarik tong ke belakang lori sampah dan letak kat satu alat dan alat tu akan menerbalikkan tong sampah tadi untuk mengosongkannya. Kemudian bila tong dah kosong, alat tadi turunkan balik tong itu dan pengutip sampah akan tarik tong balik ke hadapan rumah tuannya. Itu pun mereka siap pakai sarung tangan lagi dan sut pun mantap!


lebih kurang macam nilah..

Kalau kat Malaysia, dahla tak pakai sarung tangan, angkat sampah pakai 'bare hands' dan kadang-kadang pulak yang menjijikkan air sampah bertitisan jatuh atas jalan umpama hujan lebat di pagi hari. Uek!!

Maka kesimpulannya aku memandang saranan kerajaan Malaysia yang aku 'sayangi' ini ada pro dan kontranya.

Tidak aku nafikan cadangan ini satu cadangan yang baik. Dapat mengurangkan tapak kawasan pelupusan sampah yang dah terlalu padat. Tetapi pada pendapat aku, memandang kepada bumi yang nyata, banyak kelemahan yang terdapat pada pengurusan sampah yang sekarang ini, yang 'simple' pun masih tidak dapat ditangani oleh kerajaan. Inikan pula satu sistem pengurusan sampah yang kompleks.

Pada hemat aku, cuba lestarikan dahulu sistem yang sedia ada, lori-lori sampah dinaiktaraf dan dipastikan 'leak-free'. Pekerja-pekerja pengutip sampah dibela, diberikan pakaian dan uniform yang sesuai. Jadual kutipan sampah dipatuhi sepenuhnya, tapak-tapak pembuangan sampah haram dibasmi, dan sebagainya barulah kita naiktaraf lagi sistem sedia ada kita.

Sampah organik dalam tong hijau di UK pun bila tiba musim panas atau summer boleh berulat dan berlalat hijau. Inikan pula di Malaysia.

Maka sebelum rancangan ini dikuatkuasakan, kerajaan perlu bersungguh-sungguh meneliti konsep pelaksanaannya. Takut satu masalah selesai tapi timbul banyak pula masalah lain.

*tolong teliti BETUL-BETUL ye kerajaan!

0 comments:

Post a Comment