Pages

Thursday, February 24, 2011

Indahnya Akhlak Rasul Kita

Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya lebih kurang begini, "sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."



Ini hadis yang mungkin selalu kita dengar. Rasulullah, insan paling mulia di dunia ini tidak mungkin bercakap seperti manusia biasa yang kebanyakannya cakap tak serupa bikin.

Rasulullah nak diceritakan peribadinya, Masha-Allah, MANTOP! seperti yang diriwayatkan oleh isterinya Saidatina Aisyah yang pernah mengatakan akhlak Rasul kita ini adalah Al-Quran.

Antara akhlak Rasulullah yang tidak mungkin dapat kita tandingi dan tiada tolak bandingnya ialah pertama:

1.Penyayang

Rasulullah seperti yang kita tahu pernah pergi ke Taif untuk berdakwah, bukan memaksa penduduk sana memeluk Islam tetapi hanya menyampaikan sahaja risalah kebenaran Islam. Malangnya risalah yang disampaikan disambut oleh penduduk Taif dengan cacian dan makian. Malah Nabi kita dihina sehina-hinanya apabila penduduk Taif menyuruh anak-anak mereka mengejar Nabi sambil melemparkan batu sehingga badan Nabi diceritakan penuh dengan luka-luka dan darah mengalir di seluruh tubuh suci baginda.

Pernahkah kita mengalami situasi sebegitu??

Setelah saat yang pedih dan menyakitkan itu, Nabi terus bermunajat dan merintih kepada Allah SWT sehingga bergegarnya Arasy di langit. Oleh itu, malaikat Jibril pun turun lalu bertanya kepada Nabi jika baginda mahu, dia boleh menghempap penduduk Taif dengan Bukit Taif disebabkan perbuatan mereka ke atas baginda.

Tapi apa jawapan Rasul kita??

Rasulullah menolak pelawaan Jibril lalu berdoa agar Allah tidak mengazab penduduk Taif kerana sesungguhnya mereka itu jahil dan tidak mengetahui. Malah berdoa agar mereka diberikan zuriat yang akan melafazkan kalimat tauhid dan beriman kepada Allah.

SUBHANALLAH!

Cerita kedua ialah pernah satu ketika ada seorang sahabat melihat Rasulullah mencium cucu baginda, Husin dan Hasan. Sahabat tadi pelik kerana beliau tidak pernah berbuat sebegitu rupa kepada cucu-cucunya.

Lalu Rasul kita pun bersabda:

"من لا يرحم لا يرحم"

maksudnya, "siapa yang tidak mengasihi maka dia tidak akan dikasihi.


Rasulullah juga diriwayatkan bahawa baginda banyak menangis dalam hidupnya dan separuh daripada jumlah tangisan tersebut adalah kerana mengenangkan umatnya sehingga antara kalimah yang diucapkan di akhir hidup baginda ialah tidak lain dan tidak bukan, امتي,امتي,امتي

UMATKU, UMATKU, UMATKU....

Begitu hebatnya sifat kasih sayang Nabi kepada umatnya tetapi sejauh mana kasih sayang umat kepada Nabi??

2. Sopan Santun

Antara sifat Nabi yang agung antaranya sopan santun. Pernah satu ketika apabila Nabi di hadapan Kaabah bersama sahabatnya Umar, Nabi didatangi oleh seorang Arab Badwi yang marahkan baginda.

Arab Badwi itu mengatakan yang dia tak akan percaya dengan kerasulan baginda. Bukan setakat itu, dia mengeluarkan seekor Dhob atau biawak padang pasir daripada poketnya dan mengatakan yang Dhob itu pun tak akan beriman dengan Rasulullah.

Lalu masa itu Saidina Umar yang duduk berdekatan pun berasa marah lalu mengeluarkan pedangnya untuk memukul lelaki tadi tetapi Rasulullah mencegahnya sebaliknya Rasulullah sedikit pun tidak marah dengan lelaki Badwi tadi malah melayan kerenahnya.

Setelah itu, Rasulullah bertanya kepada Dhob itu adakah benar yang ia tidak akan beriman dengannya. Dengan mukjizat yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi, Dhob itu berkata dalam bahasa Arab yang fasih. Dhob itu mengaku beriman dengan Allah dan juga mengaku kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Terpegun melihat dhob yang telah berkata-kata itu, Arab Badwi itu lantas terus mengucapkan dua kalimah syahadah dan berkata: "Ya Rasulullah, sebelum ini engkaulah orang yang paling aku benci tapi sekarang engkaulah orang yang paling aku sayangi dan kasihi lebih daripada ibu bapa aku dan diri aku sendiri."

3. Tawadduk

Sifat mulia Nabi yang lain ialah baginda sangat tawadduk. Di rumah, sebagai seorang suami baginda tidak jemu-jemu melakukan kerja rumah yang biasanya dilakukan oleh si isteri. Baginda masak, basuh baju, jahit baju, dan sebagainya sendiri. Tidak pernah membuat isterinya berasa susah atau terbeban dengan kerja-kerja di rumah.

Selain itu, ada satu kisah ketika Rasulullah keluar bermusafir dengan beberapa orang sahabat. Masa itu tiba waktu makan dan seorang sahabat menawarkan dirinya untuk menyembelih haiwan, seorang sahabat lagi menawarkan diri untuk melapah, dan seorang lagi menawarkan diri untuk memasak daging yang disembelih itu.

Tapi apa yang Nabi kita buat??

Nabi kita pula menawarkan diri untuk mencari kayu api, tugasan yang paling sukar dan susah. Walaupun Nabi Pesuruh Allah tapi tidak segan melakukan kerja-kerja yang lebih payah daripada orang lain.


Dan banyak lagi cerita-cerita tentang sifat-sifat Nabi yang mulia yang tak mampu nak diceritakan kesemuanya. Cukuplah setakat yang di atas ini pun kita tak mungkin dapat atasi dan tandingi.

Jadi apa yang termampu itu kita lakukan dan yang tak mampu itu kita cuba untuk laksanakan. Insya-Allah





0 comments:

Post a Comment